NAFSU makan yang tidak terbendung merupakan igauan ngeri bagi seorang wanita muda. Kebimbangan bertambah setiap hari terutama apabila melihat skala pada mesin penimbang berat badan yang menunjukkan peningkatan setiap hari.
Hati menjadi semakin resah dan gelisah apabila memikirkan tentang perkara yang boleh mengakibatkan dirinya ditimpa penyakit serius itu.
Selain bimbang mengenai risiko kesihatan, pandangan sinis rakan-rakan dan orang sekeliling mengenai saiz tubuhnya yang semakin membesar secara tidak langsung menipiskan keyakinan dirinya untuk bersosial.
“Setiap kali saya melihat makanan, saya pasti tidak dapat menahan diri daripada menjamah hidangan tersebut. Keadaan jadi lebih parah apabila ternampak restoran makanan segera.
“Saya rasa seperti ada magnet yang menarik untuk menuju ke situ. Boleh dikatakan setiap hari saya akan singgah ke tempat itu untuk mengisi perut yang tidak pernah kenyang ini.
“Saya pernah ditegur oleh majikan mengenai saiz tubuh badan yang besar. Perkara tersebut sangat menurunkan motivasi saya untuk bekerja dan berhadapan dengan orang ramai terutama rakan sekerja,” ujar Sharon John, 24, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Rawatan alternatif
Prihatin terhadap keadaan Sharon, majikannya menyarankan supaya dia mengikuti sesi neuro-hipnoterapi bagi mengatasi masalah nafsu makan dan berat badannya.
Neuro-hipnoterapi ialah kaedah rawatan alternatif yang digunakan untuk merawat penyakit-penyakit berkaitan ketidakstabilan fungsi otak, emosi dan psikologi tanpa pembedahan serta ubat-ubatan.
Mengakui agak sangsi dengan kaedah rawatan alternatif tersebut, dia tetap tekad untuk mencuba kaedah yang mula diperkenalkan di Amerika Syarikat sejak 40 tahun lalu itu.
Setelah menjalani rawatan neuro-hipnoterapi lebih kurang sebulan di pusat kesihatan Spectrum Of Life yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur, wanita berusia 24 tahun itu berpuas hati dengan hasil rawatan tersebut apabila dia berjaya mengawal nafsu makannya.
Selain itu, berat badannya juga berkurangan sebanyak 10 kilogram selepas menjalani beberapa rawatan menurunkan berat badan yang ditawarkan di pusat tersebut seperti sauna inframerah.
“Selepas menjalani beberapa sesi neuro-hipnoterapi, saya sedari bahawa terdapat perubahan yang sangat ketara pada diri sendiri. Tanpa disedari, keinginan untuk makan yang melampau sudah hilang. Jika melihat restoran makanan segera pula sudah tidak ada kemahuan untuk menjamu selera di situ.
“Saya juga dapat mengawal jumlah pengambilan makanan harian dalam kuantiti yang sedikit kerana rasa cepat kenyang. Pilihan jenis hidangan juga lebih sihat serta seimbang sekarang,” luah wanita tersebut yang mengakui berasa lebih yakin apabila berhadapan dengan orang ramai.
Kesan daripada rawatan itu juga menyebabkan tahap tekanan sewaktu di tempat kerja berkurangan, sekali gus meningkatkan prestasi kerjanya sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah bank di ibu kota.
Perubahan positif
Perubahan ke arah yang lebih positif turut dirasai seorang akauntan, Angelin Tan, 51, selepas menjalani lima sesi neuro-hipnoterapi untuk mengurangkan tahap tekanan yang dialaminya akibat bebanan kerja di pejabat.
Dia yang sudah berkecimpung dalam bidang akaun selama 20 tahun mengakui mampu mengawal perasaan marah yang sering dilemparkan terhadap rakan sepejabat dan pekerja bawahannya.
“Dulu, apabila pekerja saya membuat kesalahan dalam tugas yang diberikan, saya pasti akan memarahi mereka walaupun kesilapan kecil sahaja. Namun, selepas menjalani rawatan ini, rakan-rakan sekerja boleh nampak perubahan pada diri saya yang semakin tenang dan lebih mesra pekerja.
“Saya rasa sangat bersyukur dengan kehidupan sekarang. Selain rasa lebih tenteram di tempat kerja, masalah gangguan tidur juga sudah hilang dan tidak lagi terjaga di tengah malam,” katanya yang turut menghantar anaknya ke situ untuk menjalani sesi rawatan sama bagi membantu meningkatkan prestasi dalam pembelajaran.
Tidak terhad kepada rawatan mengubah sikap dan kelakuan, rawatan alternatif itu juga mampu membantu mengurangkan simptom penyakit berkaitan gangguan fungsi otak seperti autisme dan masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD).
Masalah yang boleh dirawat melalui kaedah tersebut antara lainnya ialah sakit kepala dan migrain, kemurungan, masalah sistem penghadaman, darah tinggi, sawan gangguan tidur, merokok, keresahan dan epilepsi atau sawan.
“Ketidaktentuan aktiviti gelombang otak yang tidak menentu dikatakan antara punca kepada masalah kelakuan dan sikap seseorang. Melakukan perubahan terhadap perkara tersebut di sesetengah kawasan otak mampu mengurangkan serta menyelesaikan keadaan itu,” kata juruhipnoterapi klinikal Spectrum Of Life Sdn. Bhd., Hiro Koo.
Jelasnya, rawatan tersebut berbeza dengan hipnoterapi biasa kerana menggabungkan cara tradisional yang biasa digunakan oleh ahli terapi hipnosis di seluruh dunia dan kaedah saintifik.
Kaedah saintifik yang dipraktikkan membolehkan juruterapi melihat dan memantau keadaan gelombang otak pesakit sama ada berada dalam keadaan tertekan, relaks mahupun tidak sedar menggunakan mesin pengimbas khas.
“Semasa menjalani rawatan ini, pesakit tidak perlu risau mengenai rasa sakit kerana ia adalah rawatan yang tidak menyakitkan tanpa sebarang prosedur pembedahan. Peralatan yang kita gunakan untuk menganalisis gelombang otak mereka juga tidak menggunakan tenaga elektrik. Jadi, ia selamat.
“Kaedah yang kita gunakan ini mampu memahami keadaan seseorang pesakit dengan lebih baik melalui paparan graf-graf gelombang otak yang dapat dilihat di skrin seperti beta, alpha, theta dan delta,” katanya.
Sementara itu, Hiro memberitahu, perubahan frekuensi gelombang otak yang berlaku terhadap seseorang pesakit tidak akan mendatangkan kesan sampingan negatif seperti penyakit gila dan sebagainya.
Katanya, salah tanggapan masyarakat mengenai rawatan hipnoterapi masih lagi menebal dalam kalangan masyarakat dengan menganggap kaedah tersebut boleh mengakibatkan pesakit hilang kawalan terhadap dirinya dan mudah untuk dimanipulasi oleh orang lain.
“Rawatan ini bukanlah seperti yang kita lihat di dalam televisyen iaitu individu berkenaan seperti dipukau dan tidak sedar apa-apa perkara yang berlaku. Sebaliknya, mereka sebenarnya sedar dan mempunyai kawalan terhadap diri sendiri sepenuhnya ketika rawatan.
“Kaedah neuro-hipnoterapi ini baru diperkenalkan di Malaysia dan kami juga merupakan ahli Persatuan Psikologi Amerika (APA). Keahlian tersebut secara langsung mengiktiraf standard emas bagi rawatan yang ditawarkan,” tuturnya.